Wednesday, July 21, 2010

Struktur dan organisasi sel

Binaan bata
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu binaan yang tersusun kukuh.” 61:4
Sel adalah satu unit binaan asas kehidupan yang sangat penting. Semua benda hidup berasaskan kepada satu unit sel yang kecil. Sekumpulan sel yang mempunyai peranan dan fungsi yang sama dan khusus akan membentuk satu tisu yang mempunyai fungsi yang spesifik. Kumpulan tisu dengan fungsi yang sama akan membentuk satu organ. Sekumpulan organ dengan peranan yang sama pula akan membentuk satu sistem.
Melalui ayat di atas juga dapat difahami bahawa Allah menegaskan bahawa apa jua binaan dan juga makhluk ciptaanNya sebenarnya seumpama bangunan yang dibina berasaskan kepada unit-unit yang disusun secara organisasi. Perumpamaan ini Allah tegaskan dalam ayat yang menyeru supaya umat Islam kembali menyusun barisan agar dapat membentuk satu kesatuan yang kukuh.

Susunan tulang & jari

“Bukan demikian, sebenarnya Kami kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna.” 75:4
Dalam ayat di atas Allah berfirman menggunakan perkataan menyusun bermaksud menyempurnakan makhluk ciptaannya dengan cukup teliti. Namun mengapa organ jari yang dipilih. Organ jari merupakan satu organ dengan peranan deria yang cukup besar berbanding mana-mana organ lain pada tubuh badan manusia. Organ jari mempunyai reseptor yang paling banyak berbanding organ yang lain. Terdapat pelbagai jenis reseptor seperti reseptor sentuh, reseptor panas dan reseptor sakit. Ini menjadikan organ jari sebagai organ yang paling sensitif terutamanya daripada segi peranan sebagai organ deria yang penting.
Pada hujung jari terdapat kulit yang mempunyai ciri unik yang juga dikenali sebagai cap jari. Kehebatan ciptaan Allah ini menjadikan setiap individu mempunyai cap jari yang tersendiri. Pada kulit di bawah bahagian jari bukan sahaja ia memberikan identiti pada manusia malah ia juga berguna sebagai bahagian kulit yang dapat mewujudkan daya geseran. Fungsi daya ini membolehkan jari dan tangan untuk memegang dengan baik.
Jari tangan dan kaki masing terdapat sepuluh jari. Pada sebelah tangan, terdapat pelbagai bentuk jari tangan seperti jari penunjuk, jari tengah, ibu jari, jari manis dan jari kelingking yang mana masing-masing mempunyai peranan masing-masing sesuai dengan kedudukan dan bentuk. Tulang pada tangan dan jari manusia pula terdiri daripada pecahan tulang yang banyak.